Tokoh Khalifah Harun Al Rasyid


Harun Ar-Rasyid merupakan salah seorang negarawan yang terulung di dunia. Beliau adalah khalifah kelima kerajaan Abbassiyah yang juga merupakan kemuncak kegemilangan pemerintahan Abbasiyah. Zaman pemerintahan Abbasiyah juga dikatakan sebagai zaman yang paling gemilang dalam sejarah Islam dunia atau zaman keemasan Islam. Pada zaman inilah bermulanya era pembangunan dan perkembangan ilmu pengetahuan di Kota Baghdad. beliau telah berjaya menjadikan Kota Baghdad sebagai pusat perdagangan antarabangsa dan pusat ilmu pengetahuan dunia. Usaha yang dilakukan oleh beliau untuk membangunkan Kota Baghdad sebegitu maju dan membangun tidak mampu ditandingi oleh khalifah-khalifah pada pemerintahan yang lain dalam semua termasuklah dari segi kemajuan, pembangunan, ilmu pengetahuan, kemakmuran dan lain-lain lagi. 

Nama penuh Harun ar-Rasyid ialah Harun ar-Rasyid bin Muhammad al-Mahdi. Beliau dilahirkan di Ar-Rayy pada bulan Zulhijjah tahun 145 H bersamaan 756 M. Beliau telah menggantikan saudaranya iaitu al-Hadi sebagai khalifah Baghdad yang kelima dalam pemerintahan Abbasiyah. Beliau merupakan anak yang ketiga dalam keluarga. Sejak dari awal lagi, beliau dikenali sebagai seorang yang pintar dan sukakan ilmu pengetahuan. Tidak hairanlah jika beliau dilihat sebagai seorang yang mempunyai keperibadian yang tinggi serta banyak pengalaman sama ada dalam bidang politik, ketenteraan mahupun dalam bidang pentadbiran awam. Peranan beliau yang paling besar ialah sebagai penaung kepada semua kegiatan ilmu. Baitul Hikmah merupakan hasil usahanya yang paling besar dalam dunia penyebaran ilmu pengetahuan di Kota Baghdad..
 

Khalifah harun ar-Rasyid dikenali sebagai tokoh negarawan terulung kerana usaha beliau dalam penyebaran ilmu pengetahuan. Oleh kerana itulah, beliau membuka Baitul Hikmah iaitu institusi kebudayaan dan pusat kegiatan ilmu pengetahuan. Seseorang khalifah sememangnya seorang yang bijak dan berpengetahuan. Dalam mentadbir sesebuah negara, beliau harus tahu bagaimana caranya untuk mentadbir sebuah negara agar dapat menjadi sebuah negara yang aman dan makmur. Disamping itu juga, seseorang khalifah harus tahu untuk membangunkan dan memajukan negara agar menjadi sebuah negara yang maju dalam pelbagai bidang sama ada ekonomi, politik mahupun sosial. Ilmu pengetahuan sangat penting yang seharusnya ada dalam diri seorang khalifah. Beliau juga mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam mentadbir Kota Baghdad selama 23 tahun.
 

Keberanian seseorang khalifah juga amat penting untuk mentadbir sesebuah negara agar menjadi sebuah negara yang aman. Tanpa ilmu pengetahuan yang cukup, sseorang khalifah tidak akan mampu membawa tentera-tenteranya dalam memerangi musuh untuk mendapatkan keamanan dan kemakmuran. Khalifah Harun ar-Rasyid sendiri begitu cekap dalam menguruskan pentadbiran negara. Beliau telah dapat membanteras segala kekacauan dan pemberontakan di dalam negaranya dengan pelbagai rintangan dan dugaan. Akhirnya, beliau telah berjaya dalam peperaangan tersebut kerana usaha yang dilakukan berhasil antara usaha beliau ialah dengan menyusun semula pasukan tenteranya agar menjadi sebuah pasukan tentera yang berdisiplin dan teratur. Beliau begitu mengambil berat terhadap kredibiliti tentera-tenteranya dan juga memberi perlindungan serta keselamatan untuk kesejahteraan rakyatnya.
 

Kemajuan intelektual yang dicapai oleh Khalifah Harun ar-Rasyid juga adalah salah satu sumbangan yang besar diberikan oleh baginda. Terdapat buku-buku yang berupa terjemahan ilmu dari luar ataupun disusun oleh intelektual Islam tergolong dalam kemajuan intelektual. Beliau dianggap sebagai penaung bagi semua kegiatan ilmu pengetahuan kerana beliau sering kali menganjurkan majlis forum, syarahan dan perbahasan, yang mana akan dihadiri oleh orang ramai dan golongan intelektual di masjid. Pada majlis seperti inilah, beliau dapat mengenali lebih ramai ilmuan yang datang untuk menuntut ilmu daripadanya. Sebagai seorang khalifah, beliau seharusnya mampu melaksanakan kewajipan dalam menyebarkan ilmu pengetahuan kepada semua masyarakat dalam negaranya.
 

Pertumbuhan ekonomi yang pesat juga telah banyak dibuat oleh Khalifah Harun ar-Rasyid. Malah, beliau sendiri telah menjadi simbol kemegahan Islam di Timur dan Barat. Terdapat banyak kota seperti Baghdad, Basrah, Masyul, Damsyik dan Aleppo muncul sebagai kota yang terkenal. Banyak perubahan yang dilakukan oleh beliau dalam membangunkan ekonomi dengan melakukan aktiviti perdagangan, perniagaan dan membawa pedagang-pedagang asing untuk berniaga di Kota Baghdad. Disebabkan usaha inilah, ramai pedagang-pedagang asing yang datang membawa barangan mereka untuk diniagakan di Kota Baghdad. Bahkan, bukan sahaja pedagang-pedagang asing yang datang berniaga, penduduk di Kota Bahgdad sendiri melakukan aktiviti perniagaan sesama mereka.
 

Beliau juga mengadakan hubungan yang baik dengan kuasa-kuasa asing, antaranya kerajaan Byzantium, Peranchis dan keluarga al-Barmaki. Perhubungan ini bertujuan untuk pendamaian antara kedua-dua belah pihak melalui pembayaran ufti antara Kota Bahgdad dengan kerajaan Byzantium. Hubungan yang baik dengan Kristian- Peranchis adalah kerana mereka sama-sama mempunyai musuh yang sama iaitu kerajaan Bani Umayyah. Kedua-dua buah kerajaan ini sentiasa bertukar duta dan kemudiannya diikuti oleh pemimpin mereka iaitu Khalifah Harun ar-Rasyid sendiri dan Charlemange. Malah, kerajaan Peranchis begitu menghormati dan meniru dasar pentadbiran kerajaan Abbasiyah bertujuan untuk kebaikan negara mereka sendiri. Manakala keluarga al- Barmaki pula sangat terpengaruh dalam pentadbiran mereka. Mereka memegang banyak jawatan yang penting seperti wazir hinggalah kepada gabenor daerah. Disebabkan itu, hubungan antara kerajaan Abbasiyah tidak begitu baik dengan keluarga al-Barmaki.
 

Satu lagi sumbangan Khalifah ar-Rasyid yang sangat besar kepada kerajaan Abbasiyah ialah dengan tertubuhnya Baitul Hikmah. Sikap prihatin beliau dalam bidang ilmu pengetahuan mendorong beliau untuk menubuhkan institusi itu sebagai satu tempat penyebaran ilmu pengetahuan. Semua kegiatan keilmuan ini merupakan satu usaha yang cemerlang dilakukan oleh beliau ketika mentadbir kerajaan Abbasiyah. Baitul Hikmah ini juga menggabungkan pelbagai fungsi antaranya ialah sebagai tempat penyimpanan buku-buku, pengumpulan buku, perpustakaan, pusat akademik dan balai penterjemahan. Ia juga merupakan lambang pendidikan yang terpenting dan telah dapat menandingi kemasyhuran Perpustakaan Iskandariah. Kerana tanggungjawab beliau sebagai seorang khalifah, beliau begitu gigih dalam memperkembangkan ilmu pengetahuan.
 

Sebagai kesimpulannya, Khalifah Harun ar-Rasyid merupakan seoranhg khalifah yang begitu gigih berusaha untuk keamanan dan kemakmuran Kota Baghdad. Beliau telah berjaya mencipta kejayaan demi kejayaan dan yang paling disebut-sebut ialah sebagai Zaman Keemasan Islam. Jasa dan sumbangan beliau yang tidak terbilang ini, terutama dalam bidang ilmu pengetahuan serta perubahan-perubahan yang telah dilakukan menggambarkan bahawa beliau seorang khalifah yang amat prihatin dengan keamanan Negara yang tiada tolok bandingnya. Beliau juga disifatkan sebagai seorang pemerintah yang paling berwibawa dalam pelbagai aspek terutamanya dalam aspek pentadbiran. Peranan beliau yang paling besar ialah sebagai penaung kepada semua kegiatan ilmu pengetahuan. Baitul Hikmah merupakan hasil usahanya yang paling bermakna kerana ianya merupakan kombinasi perpustakaan, pusat akademik dan balai penterjemahan.

3 comments:

Ratu Qurtubah said...

terima kasih atas pkongsian ilmu..mmbntu sy dlm mngulangkaji utk exam..:)

Fildza Eqhnoor said...

salam.. terima kasih dengan maklumat yang saudara berikan mengenai Khalifah Harun Ar - Rasyid ni.. sedikit komen tulisan yg saudara pamerkn ni sush ckit nk baca.. n boleh x sy tahu daripada sumber yg saudara perolehi utk pnulisan tugasan sy mgenai khalifah ni.. harap dpt mbantu.. syukran..

BINTU MOHD ZUHAIDI said...

assalamualaikum..syukran ats perkogsian..serba sedikit byk membantu sy utk tugasan kkp pegajian agama II sem 3..syukran..:)